Pelajaran Menjamin Masa Depan

Posted by Samsul Rizal | Pendidikan | Tuesday 13 January 2009 2:07 am

Sejak dari dulu kita diajar untuk belajar rajin-rajin, belajar tinggi-tinggi sampai ke universiti. Mungkin ini kerana ibu bapa kita tidak dapat berbuat sedemikian sewaktu mereka muda. Mungkin juga ibu bapa kita telah mendapat suatu pengajaran dalam hidup mereka bahawa pelajaran itu sangat penting.

Hakikatnya sewaktu kita muda dan masih di bangku sekolah, kita juga kadang-kadang tidak dapat melihat betapa pelajaran itu penting. Apabila kita habis menduduki SPM atau STPM kita sibuk mahu mencari kerja dan tidak mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Bila sudah mendapat kerja dan memegang duit beratus-ratus ringgit sebulan, kita akur bahawa wang tersebut tidak mencukupi untuk meneruskan hidup dengan harga barang dan kos sara hidup yang tinggi terutama kos sara hidup di bandar-bandar besar.

Barulah kita kemudiannya bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. Mujurlah semua kriteria yang diperlukan untuk memasuki universiti ada pada keputusan SPM atau STPM kita. Jika tidak terpaksalah kita melupakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

Formula belajar tinggi-tinggi ini memang telah lama digunakan oleh sesetengah rakyat Malaysia. Bagi mereka hanya pelajaran sahaja yang dapat menjamin masa depan. Ada benarnya formula ini. Jika kita lihat ramai penjawat-penjawat jawatan tertinggi sesebuah organisasi terdiri daripada mereka yang berpelajaran tinggi.

Apabila melihat rakan-rakan sekerja mula mendapat peluang menjawat jawatan yang lebih tinggi, mula terasa kerugian tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. Rasanya tidak cukup dengan memegang Diploma atau Sijil sahaja. Mujurlah di Malaysia ada juga universiti yang menawarkan kerja sambil belajar. Dapatlah kita terus melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Jika anda mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, jangan sia-siakan peluang tersebut. Kadang-kadang peluang hanya datang sekali. Sesiapa yang bijak menggunakan peluang, merekalah yang akan berjaya.

FTPress.com (Pearson Education)